Saujana Utama | 8 Oktober 2026 — Surau Al-Hidayah Saujana Utama (SAH) terus memperkukuh aspek keselamatan dan pemantauan kawasan surau menerusi kerja-kerja menaik taraf sistem CCTV yang dilaksanakan baru-baru ini.
Antara kerja utama yang dijalankan ialah penggantian set NVR (Network Video Recorder) bagi sistem CCTV yang mengalami kerosakan. Penggantian ini penting bagi memastikan sistem rakaman dan pemantauan keselamatan dapat berfungsi dengan lebih baik, teratur dan berterusan.
Dengan sistem CCTV yang dipertingkatkan, pihak pengurusan surau dapat melakukan pemantauan terhadap kawasan sekitar surau dengan lebih berkesan. Keberadaan CCTV juga banyak membantu dalam usaha mencegah kejadian kecurian, vandalisme serta meningkatkan tahap keselamatan jemaah, AJK dan komuniti yang menggunakan kemudahan surau.
Skop pemantauan turut memberi manfaat kepada kawasan berhampiran, termasuk Sekolah KAFA Kidas, khususnya dalam membantu memantau pergerakan dan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan.
Menariknya, sistem CCTV SAH bukan sekadar berfungsi sebagai sistem keselamatan. Infrastruktur ini turut dimanfaatkan bagi menyokong siaran langsung (Live Streaming) kuliah dan program ilmu yang berlangsung di surau. Melalui kemudahan ini, jemaah yang tidak dapat hadir secara fizikal masih berpeluang mengikuti pengisian kuliah secara dalam talian.
Inisiatif upgrade ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SAH untuk membangunkan surau yang lebih selamat, cekap dan berteraskan teknologi digital, sekali gus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli kariah dan komuniti setempat.
