HELWA SAH Anjur Majlis Bacaan Kitab Selawat Dalailul Khairat

# HELWA SAH Anjur Majlis Bacaan Kitab Selawat Dalailul Khairat

**SAUJANA UTAMA, 17 Oktober 2026** – Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA), Biro Muslimat Surau Al-Hidayah Saujana Utama telah menganjurkan Majlis Bacaan Kitab Selawat *Dalailul Khairat* yang menghimpunkan seramai 13 orang peserta muslimat dalam suasana penuh ketenangan dan penghayatan rohani.

Majlis yang diadakan pada setiap Sabtu minggu ketiga ini bertujuan menyemarakkan amalan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta meningkatkan kefahaman terhadap kandungan kitab selawat tersebut. Bacaan selawat dipimpin oleh **Puan Zarina binti Abdul Rahman**, yang membimbing para peserta mengikuti bacaan secara berjemaah.

Program ini turut menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah sesama muslimat, berkongsi ilmu agama dan membudayakan amalan kerohanian secara istiqamah. Penggunaan kitab terjemahan Bahasa Melayu juga membantu peserta memahami kandungan bacaan dengan lebih baik.

Pihak Surau Al-Hidayah berharap majlis ini dapat diteruskan secara berkala dan menarik lebih ramai penyertaan muslimat pada masa akan datang. Semua muslimat ahli kariah SAH dialu-alukan untuk menyertai majlis yang memberi ruang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui amalan selawat.

Majlis Iftar Surau Al-Hidayah Ramadan 1447H/2026 Berakhir dengan Sambutan Menggalakkan

Program Majlis Iftar (berbuka puasa) di Surau Al-Hidayah Saujana Utama bagi sesi Ramadan 1447H / 2026 telah melabuhkan tirainya dengan penuh rasa syukur dan penghargaan. Sepanjang penganjuran tahun ini, majlis iftar berjaya dilaksanakan secara berterusan sehingga hari ke-27 Ramadan, hasil sokongan padu para penaja serta kerjasama ahli kariah yang sentiasa memberikan komitmen dalam menjayakan program kebajikan komuniti ini.

Pihak pengurusan Surau Al-Hidayah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang dan penaja iftar yang telah menyumbang dalam pelbagai bentuk sama ada melalui tajaan hidangan berbuka, sumbangan kewangan mahupun sokongan logistik. Sumbangan ini telah memberi manfaat kepada para jemaah serta masyarakat setempat yang hadir untuk berbuka puasa secara berjemaah di surau.

Pencapaian ini menunjukkan peningkatan yang sangat positif berbanding tahun sebelumnya, di mana pada Ramadan 2025, majlis iftar hanya dapat dilaksanakan pada hari-hari tertentu sahaja, terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadan serta hujung minggu (Sabtu dan Ahad). Kejayaan penganjuran tahun ini mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dalam mengimarahkan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan ukhuwah. 🌙🤝

Ingin Bertanya Lansung?